Trump 2.0: Hagemoni AS di ambang kejatuhan

Baru tiga bulan sejak Donald Trump kembali dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), namun sudah pelbagai kontroversi yang dicetuskan pentadbirannya menggemparkan dunia. Terbaharu, Trump mengumumkan tarif baharu sebanyak 145% terhadap China, sebelum Beijing membalas dengan mengenakan tarif sebanyak 125% ke atas produk AS. Tindakan ini tidak mengejutkan sepenuhnya kerana sejak kembali ke Rumah Putih, Trump menunjukkan kecenderungan menghidupkan kembali pendekatan proteksionis yang agresif terhadap negara-negara yang didakwanya merugikan ekonomi AS.

Dalam satu majlis ‘Liberation Day’ yang diadakan di Rumah Putih pada 2 April lalu, Trump mengumumkan tarif bukan sahaja terhadap China, tetapi juga ke atas beberapa negara Asia, termasuk negara ASEAN seperti Malaysia, Indonesia, Vietnam, Kemboja, Filipina dan Thailand. Malaysia sebagai negara kecil yang sangat bergantung kepada perdagangan antarabangsa tidak terkecuali daripada menerima tempias dasar luar Trump yang nasionalis.

Pengumuman tarif terhadap negara ASEAN boleh menjejaskan eksport tempatan serta memberi tekanan ke atas nilai ringgit sekiranya tidak ditangani secara strategik oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Ini merupakan isyarat jelas tentang arah pentadbiran Trump dalam penggal keduanya: lebih agresif, lebih unilateral, dan lebih eksklusif.

Namun isu tarif ini hanyalah permukaan daripada drama politik yang lebih besar. Trump turut mencetuskan kontroversi dengan menghidupkan semula idea lama yang pernah dibangkitkannya cadangan untuk menjadikan Greenland sebagai wilayah Amerika. Media melaporkan Trump pernah menawarkan bayaran tunai tahunan sebanyak AS$10,000 (RM44 ribu) kepada penduduk Greenland sekiranya mereka menyokong pengambilalihan wilayah tersebut daripada Denmark. Idea ini yang kelihatan tidak masuk akal itu menonjolkan hasrat pentadbiran beliau untuk memperluas kuasa geostrategik AS melalui kaedah yang tidak lazim.

Dalam aspek domestik pula, Trump memperkenalkan semula Jabatan Kecekapan Kerajaan atau “Department of Government Efficiency” (DOGE), yang dipimpin oleh jutawan, Elon Musk. DOGE dikritik kerana memainkan peranan besar dalam penutupan Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID), pemotongan dana bantuan luar, serta pemberhentian ribuan kakitangan awam dengan alasan penjimatan. Tanpa pelan sokongan yang konkrit, tindakan-tindakan ini hanya memperlihatkan keangkuhan pentadbiran Trump yang lebih menekankan citra korporat berbanding kebertanggungjawaban negara.

Melihat kepada keseluruhan pendekatan ini, ramai penganalisis menyuarakan kebimbangan tentang masa depan hegemoni Amerika. Ayman Rashdan Wong, penganalisis geopolitik, dalam laman sosial Facebook berkata bahawa tindakan Trump yang mengganggu sistem perdagangan dunia melalui tarif tidak konsisten bukan sahaja memalukan, bahkan turut merendahkan kredibiliti Amerika di mata antarabangsa.

Dean Baker, ahli mikroekonomi dari Center for Economic and Policy Research pula dalam artikelnya ‘Donald Trump dan Penghabisan Hegemoni Amerika’ menegaskan bahawa dasar-dasar tidak menentu Trump dan kenyataan-kenyataan bercanggah beliau akan terus melemahkan keyakinan sekutu terhadap AS. Menurut beliau, Amerika semakin dilihat sebagai rakan yang tidak boleh diharapkan dalam gabungan strategik antarabangsa.

Terdapat banyak contoh yang mengukuhkan pandangan ini. Antaranya, tindakan Trump mengenakan tarif sebanyak 25% terhadap Kesatuan Eropah (EU), iaitu sekutu terdekat Amerika. Ini disusuli pula dengan pertelingkahan terbuka beliau dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy di White House yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen. Insiden ini berlaku tidak lama sebelum Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, mengadakan rundingan gencatan senjata dengan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov di Riyadh tanpa melibatkan wakil Ukraine satu tamparan hebat kepada Kiev.

Segala tindakan ini bukan sahaja menjauhkan AS daripada sekutunya, malah turut memperlihatkan kerakusan Trump untuk melaksanakan semula dasar ‘America First’ yang pernah menjadi slogan utamanya. Dalam usaha merealisasikan semula retorik “Make America Great Again”, Trump mengaktifkan kembali pelbagai pendekatan populis yang menyasarkan isu-isu imigran, kawalan sempadan dan kebebasan bersuara.

Contohnya, di bawah pentadbiran baharu ini, kawalan sempadan diperketat dan operasi pengusiran imigran yang memasuki negara secara haram digiatkan. Menurut laporan Associated Press, lebih 900,000 individu yang telah mendaftar dalam aplikasi imigresen dalam talian yang diperkenalkan era Presiden Joe Biden kini dibatalkan secara mengejut oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS).

Isu kebebasan bersuara pula menjadi lebih mencengkam apabila Trump meluluskan arahan pembatalan visa pelajar asing yang menyertai demonstrasi anti-Israel di universiti-universiti seperti Columbia. Tindakan ini jelas mencabar hak yang dijamin oleh Pindaan Pertama Perlembagaan AS, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap arah tuju demokrasi di bawah Trump.

Kesemua perkembangan ini mencerminkan krisis legitimasi yang dihadapi oleh Amerika Syarikat di bawah kepimpinan Trump. Ketidaktentuan dasar, tindakan unilateral, serta pendekatan eksklusif “America First” bukan sahaja menjejaskan kestabilan global, bahkan berisiko menghakis kepercayaan terhadap sistem antarabangsa yang selama ini dipelopori oleh Washington.

Sekiranya trend ini berterusan, tidak mustahil kita bakal menyaksikan kemunculan dunia multipolar yang baharu, di mana kuasa seperti China, Rusia, India dan bahkan blok ASEAN akan mula memainkan peranan lebih aktif. Ketika itu, Amerika mungkin tidak lagi berada di puncak hierarki kuasa global seperti mana yang dinikmatinya sepanjang abad ke-20.

Ulasan

Catatan Popular