Di Sebalik Laungan Merdeka

 

Merdeka. Suatu kata yang suci dan keramat kepada kita. Itu tidak dapat dinafikan lagi. Kita sering melaungkannya pada 31 Ogos setiap tahun. Kita melaungkannya dengan penuh tegas dan berani di hadapan dunia antarabangsa bahawa Persekutuan Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaannya tanpa sebarang pertumpahan darah. 31 Ogos pula merupakan tarikh keramat yang akan sentiasa diingati oleh kita sebagai warganya. Bukan senang tarikh tersebut dipilih sebagai tarikh kemerdekaan. Ianya dipilih oleh Syeikh Abdullah Fahim, seorang ulama karismatik dari utara Tanah Melayu yang menyatakan tarikh tersebut merupakan tarikh yang sesuai bagi mendeklarasikan kemerdekaan. Perkataan 31 Ogos 1957 dalam bahasa arab ialah ‘Am Khir Atana’, tahun baik datang kepada kita.

Pada tarikh tersebut, kita merayakannya dengan meriah. Bendera jalur gemilang dikibar tinggi, lagu patriotik bergema di setiap pelusuk bangunan, kedai dan rumah. Namun, di tengah gegap gempita itu, ada sesuatu yang membuatkan saya sering tertanya-tanya, adakah kemerdekaan ini benar-benar milik kita, atau sekadar sebuah peringatan tahunan yang kita ulanginya pada setiap tahun tanpa benar-benar menghayatinya?

Seorang kawan pernah berkata, “Kemerdekaan ialah apabila kita tidak lagi takut.” Kata-katanya itu nampak biasa sahaja, tetapi sangat mendalam maknanya. Takut itu boleh terjadi dalam banyak hal, salah satunya ialah takut untuk menyuarakan pendapat kerana pendapat kita akan berbeza daripada pendapat majoriti. Mungkin ini adalah apa yang boleh kita kategorikan sebagai ‘cancel culture’ atau budaya pembatalan dalam bahasa Melayu. Budaya ini dipercayai muncul pada tahun 2017 di media sosial X dengan gerakan #MeToo yang mana gerakan tersebut menentang penderaan dan gangguan seksual di tempat kerja.

Puteri Anis Najwa Mohd Rafdi dalam artikelnya iaitu “Kebebasan bersuara atau kuasa membungkam? Realiti ‘cancel culture’ di Malaysia”, berkata budaya cancel culture merupakan budaya membatalkan, merujuk kepada tindakan masyarakat khususnya warganet yang secara kolektif ‘menolak’ atau memboikot seseorang susulan kenyataan atau tingkah laku yang dianggap tidak sesuai, salah atau menyinggung sensitiviti.

Mungkin ini apa yang kita boleh kaitkan dengan ketakutan yang dikatakan oleh kawan tadi. Takut bersuara. Takut pada perbezaan. Takut bahawa identiti nasional yang kita agungkan itu rapuh, diibaratkan seperti kertas nipis yang mudah koyak apabila disentuh realiti.

Di sekolah, kita diajar bahawa kemerdekaan Malaysia lahir daripada kebijaksanaan pejuang kemerdekaan yang memperjuangkannya menerusi rundingan. Malaysia ini negara unik sebenarnya kerana kemerdekaan yang kita peroleh tidak mengalami sebarang pertumpahan darah seperti di negara Jiran kita, Indonesia. Namun, sejarah lebih rumit daripada buku teks. Ada nama yang dipadam, ada suara yang dibisukan, dan ada pengorbanan yang tidak pernah diangkat kerana tidak sesuai dengan naratif rasmi tentang “bangsa Merdeka”.

Lebih tujuh dekad selepas laungan ‘Merdeka’ dikumandangkan, kita mungkin bebas daripada cengkaman penjajah, tetapi belum tentu bebas daripada kebergantungan. Kebergantungan kepada apa? Kebergantungan kepada kuasa, kepada politik yang memecah belah, pada ketakutan yang diwariskan dari generasi ke generasi.  Sudah 68 tahun kita merdeka, namun kita masih lagi berdebat tentang siapa yang lebih layak menjadi tuan di bumi ini, seolah-olah tanah ini warisan eksklusif, bukan ruang bersama yang sepatutnya kita jaga dengan adil. Ya, tidak dinafikan kaum Melayu-Islam sudah pun dijamin haknya dalam perlembagaan, namun bukankah sepatutnya negara ini patut kita jaga bersama antara satu sama lain?

Kemerdekaan itu sepatutnya memberi ruang kepada kita untuk menjadi manusia yang berani. Berani berbeza, berani mengakui kesilapan, dan berani membina masa depan bersama, tetapi apabila keberanian itu jarang ada dalam diri kita, kita lebih selesa dengan slogan yang dihafal, bukan persoalan yang menuntut jawapan yang ikhlas dan jujur.

Sasterawan Indonesia, Goenawan Mohamad pernah berkata “Kebebasan bukanlah sebuah hadiah cuma-cuma, melainkan sesuatu yang harus diperjuangkan.” Dalam konteks Malaysia, keberanian itu mungkin bermaksud kita harus merenung dalam diri kita, berani mempersoalkan semula naratif yang selama ini dianggap sebagai kebenaran mutlak. Mungkin juga ia bermaksud berani melepaskan rasa takut bahawa kemerdekaan hanya milik segelintir, bukan milik semua.

Sejarah membuktikan bukan hanya Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak Hussein sahaja yang pergi berunding dengan British di London, tetapi turut disertai juga oleh H.S Lee yang mewakili kaum cina.

Intihanya, kemerdekaan itu bukan sekadar peristiwa yang berlaku pada tahun 1957 atau pada tahun 1963 sahaja. Tetapi ianya adalah sebuah proses yang tidak pernah selesai. Ia menuntut kita bukan sekadar menjadi pewaris sahaja, tetapi sebagai pencipta ruang yang lebih adil, jujur dan manusiawi.

Mungkin inilah cabaran sebenar kita pada hari ini, berani menjadikan kemerdekaan itu sebagai sesuatu yang hidup dan mampu memberikan suatu pemaknaan yang penting kepada kita, bukan sekadar kenangan tahunan.

Akhir sekali, marilah kita membina dialog yang lebih terbuka untuk memaknai semula erti kemerdekaan. Merdeka, akhirnya adalah tentang cinta dan kebebasan sebagaimana yang diungkap Sasterawan Negara, Dato Usman Awang dalam sajaknya, “Tanah Air”.

Negara baru

Di atas rongga jantungmu

Akan tertegak bertapak dalam kebebasan

Cinta antara kita wahyu dari Tuhan

Ulasan

Catatan Popular