Iltizam tahun baharu 2022
Seringkali apabila sudah tiba hari terakhir pada tahun ini, iaitu tahun 2021 dan juga tahun-tahun sebelum nya, banyak orang yang mengepost di dalam sosial media seperti Facebook, Instagram, Whatsapp bahkan ada yang melakukan video di aplikasi yang hangat sekarang ini iaitu TikTok. Namun kebanyakan iltizam ataupun harapan-harapan yang sering disebut oleh banyak orang termasuk diri saya sendiri, adakah iltizam atau harapan-harapan kita ini sudah kita melaksanakannya secara betul-betul ataupun hanya sekadar trend sahaja yang muncul di akhir tahun ini?
Iltizam ataupun harapan baharu ini yang seringkali diucapkan oleh banyak orang sebenarnya merupakan sesuatu perkara yang bagus. Ia mampu dijadikan sebagai pendorong kepada kita ataupun sebagai pembakar semangat kepada kita untuk berubah untuk menjadi yang lebih baik daripada sebelum ini. Namun kebanyakan orang, saya tidak katakan ini khusus kepada sesiapa kerana ada juga mereka yang membuat iltizam yang baharu di sosial media dan berhasil berubah mengikut apa yang telah mereka azamkan, namun jika segelintir orang hanya bercakap/ menulis sahaja di media sosial bahawasanya mereka ingin berubah atau ada iltizam baharu yang mereka ingin lakukan, maka sebenarnya kalian bukanlah orang-orang yang akan berjaya. Kalau kalian ingin menjadi orang yang berjaya, maka kalian harus lakukan daripada sekarang, harus bertindak dari sekarang, tidak hanya sekadar bermain kata-kata sahaja ataupun sekadar menulis di ruangan-ruangan Twitter, TikTok, Whatsapp dan lain-lain lagi.
Sebagai contoh, Saya membuat iltizam yang baharu menjelang tahun baharu 2022 iaitu saya ingin menjadi seorang mahasiswa yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara, maka saya harus berubah dari sekarang juga dengan melakukan tindakan seperti fokus dalam pelajaran, aktif dalam dunia kepimpinan, belajar untuk mendekatkan diri kepada mereka yang memerlukan, belajar untuk menangani masalah yang dihadapi dengan sendiri. Itulah makna sebenar iltizam ataupun harapan-harapan yang kita dapat lakukan. Kita bercakap tentang iltizam yang kita ingin lakukan dan kita bertindak pada masa yang sama.
Akhir kata, saya percaya bahawasanya nasihat ini untuk kita semua, untuk saya juga, untuk pembaca dan untuk mereka yang merasakan perlu untuk membaca blog saya yang tidak seberapa ini. Kerana kita ini sebenarnya hanya merupakan hamba Allah yang lemah sahaja. Kita ini bukan maksum sebagaimana para rasul yang diturunkan oleh Allah S.W.T. Kita ini hanya manusia yang senantiasa belajar untuk menjadi yang lebih baik lagi di mata Allah S.W.T. Maka saya akhiri kata-kata saya dengan mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2022. Semoga kita menjadi Hamba yang terbaik di mata Allah S.W.T.
(Admin tulis petikan ini 30 minit sebelum masuk tahun baharu 2022)
Ulasan
Catat Ulasan