KRITIKAN TERHADAP MPP
Baru-baru ini, kita melihat segelintir mahasiswa telah turun ke jalanan untuk berdemonstrasi ke atas kenaikan harga barang serta penarikan subsidi yang sekaligus melihatkan kos sara hidup rakyat semakin meningkat pada masa sekarang ini. Bermula daripada acara speakers corner yang diadakan di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada 3 Julai yang lalu yang mana ianya dihadiri oleh ratusan mahasiswa dan pembicaranya terdiri daripada wakil-wakil kesatuan mahasiswa yang hadir pada acara tersebut. Aksi demonstrasi tersebut diteruskan lagi pada 24 Julai yang lalu dimana mahasiswa mengeluarkan kenyataan yang berisi 5 tuntutan daripada mereka untuk kerajaan menyelesaikan krisis kenaikan harga barang ini dengan segera dan mengemukakan jalan penyelesaian yang secukupnya kepada rakyat untuk mengatasi permasalahan ini. Aksi-aksi demonstrasi yang digerakkan oleh organisasi mahasiswa ini dilihat mampu membuatkan kerajaan mendengar suara rakyat itu sendiri. Sepertimana yang kita ketahui bahawa mereka yang berdemonstrasi ini juga mewakili masyarakat Malaysia secara umumnya yang tidak berpuas hati akan kenaikan harga barang tersebut dan cara kerajaan yang dilihat agak lambat respon dalam menangani masalah ini. Aksi demonstrasi ini merupakan satu-satunya cara untuk kita meluahkan segala ketidakpuashatian terhadap segala yang kerajaan buat yang mana ia tidak mendatangkan keuntungan kepada rakyat secara amnya.
Cumanya yang mengecewakan mahasiswa ialah sebilangan pihak termasuk daripada pihak MPP universiti masing-masing yang dilihat tidak menggalakkan mahasiswa untuk turun berdemonstrasi di jalanan kerana ianya menyalahi undang-undang. Dan kenyataan ini diulang banyak kali oleh MPP universiti yang lain di dalam kenyataan mereka. Jadi dari situ kita dapat lihat bahawa MPP tidak mewakili suara mahasiswa dengan sepenuhnya. Kalau kita lihat dari segi skop atau fungsi MPP yang sebenarnya ialah membawa suara mahasiswa untuk diperbincangkan bersama dengan pihak tertinggi universiti. Selain itu, MPP juga mewakili segala permasalahan yang dihadapi oleh mahasiswa untuk dibawa ke pihak atasan untuk diambil tindakan sewajarnya. Jadi dalam permasalahan kos harga barang naik ini adakah ianya permasalahan mahasiswa ataupun permasalahan masyarakat di luar sana? Walaupun banyak langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan dalam menangani masalah kenaikan harga barang ini khususnya kepada remaja menerusi memperkenalkan menu Keluarga Malaysia yang dilaksanakan di seluruh IPT di Malaysia, namun itu semua hanya dapat dilaksanakan setelah rakyat meluahkan ketidakpuashatian mereka terhadap segala kebijakan kerajaan yang dilihat tidak menyebelahi rakyat dan ini diluahkan melalui demonstrasi jalanan yang dianjurkan oleh golongan mahasiswa.
Selain itu, kita lihat tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh MPP yang mendesak pihak kerajaan mengemukakan solusi untuk menangani kos harga barang naik ditambah lagi dengan kos sara hidup yang tinggi. Jadi, dengan mengatakan bahawa tidak menggalakkan kepada mahasiswa untuk menyertai demonstrasi yang bertentangan dengan undang-undang itu sebenarnya merupakan perkara yang lucu sekali. Antara sebabnya ialah mahasiswa dengan demonstrasi ini merupakan antara dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Bagi mahasiswa, sebarang tindakan yang dilakukan oleh kerajaan yang tidak memuaskan hati rakyat, hanya terdapat satu cara sahaja untuk memastikan kerajaan mendengar suara hati rakyat iaitu dengan melakukan demonstrasi di jalanan kerana dengan cara inilah kerajaan akan mendengar suara rakyat. Demonstrasi jalanan ini tidak salah dan tidak menyalahi perlembagaan kerana ianya merupakan kebebasan kepada rakyat untuk meluahkan segala ketidakpuashatian mereka kepada kerajaan.
Kesimpulannya, MPP seharusnya menjadi suatu badan yang mewakili mahasiswa dengan lebih efisien dan mantap lagi. Mahasiswa ini mahu melihat MPP ini sebagai suatu badan yang boleh membawa suara mahasiswa ini jauh ke hadapan. Sebarang tindakan yang dilakukan oleh mahasiswa perlulah mendapat sokongan daripada pihak MPP itu sendiri sebagai sebuah badan yang diiktiraf oleh pihak pengurusan universiti.
Ulasan
Catat Ulasan