Merdeka
Tepat pada jam 12:00 tengah malam seluruh Malaysia akan menyambut hari kemerdekaannya buat kali ke 65 pada tahun ini. Jika ditanyakan kepada masyarakat awam apakah pendapat mereka tentang kemerdekaan, mereka akan menjawab “bebas dari penjajah”, “bebas memerintah sendiri”, “bebas dari pengaruh asing” dan lain-lain lagi. Tetapi menurut aku yang dilahirkan sebagai generasi selepas merdeka, yang sedang mencuba untuk memahami erti kemerdekaan yang sebenarnya, sebetulnya kita belum mencapai kemerdekaan yang sebenarnya. Kita belum mencapai kemerdekaan dari segi bebas dari pengaruh asing, merdeka dari segi mengubah diri kita dari sebelumnya kepada diri kita yang lebih baik lagi. Bagi aku, kemerdekaan yang sebenarnya yang harus kita kecapi ialah kemerdekaan yang dapat menentukan jati diri kita yang sebenarnya sebagai rakyat Malaysia. Kalau merdeka dari sudut bebasnya kita dari pengaruh asing, mungkin agak kelihatan mustahil disebabkan unsur globalisasi yang melihatkan munculnya pengaruh barat memasuki dalam kehidupan rakyat Malaysia, akan tetapi jikalau kita boleh menonjolkan budaya tempatan kita kepada masyarakat tempatan dan juga antarabangsa, maka tidak mustahil untuk menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa bahawa kita mampu menonjolkan jati diri kita sebagai masyarakat Malaysia tidak kira kaum Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, dan lain-lain lagi.
Seterusnya ialah kita dapat memerdekakan diri kita daripada yang buruk kepada sesuatu yang lebih baik lagi. Mengapa aku kata kita berubah dari yang buruk kepada yang lebih baik itu juga merupakan hal kemerdekaan, kerana kita melihat kembali kepada sepanjang proses kita untuk berubah. Ianya mengambil masa yang panjang bukannya masa yang terdekat untuk kita berubah. Begitu juga dengan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang berjuang menuntut kemerdekaan, bukannya mengambil masa beberapa bulan akan tetapi mengambil masa bertahun untuk mereka berjuang untuk memperoleh kemerdekaan daripada penjajah British. Jadi begitu juga dengan diri kita yang terpaksa melalui proses yang panjang dan rumit untuk mentransformasikan diri kita ini menjadi seseorang yang lebih baik lagi. Apabila kita berubah menjadi manusia yang baik dan bermanfaat kepada orang lain, maka pada saat itulah erti merdeka yang sebenarnya dapat dimengertikan dengan sebaiknya.
Jadi bersempena dengan kemerdekaan ini marilah kita bersama-sama menjadi warganegara yang sentiasa bangga menjadi warganegara Malaysia dan menjadi warganegara yang sentiasa bersyukur atas nikmat kemerdekaan yang diberikan hasil dari perjuangan para tokoh kemerdekaan serta dapat menjadi warganegara yang menyumbang kejayaan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Ulasan
Catat Ulasan