Syria pasca Assad

 

8 Disember 2024, satu tarikh yang tidak dapat dilupakan oleh masyarakat dunia. Serangan pantas yang digerakkan oleh pasukan pejuang Hayat Tahrir al-Shams (HTS) sejak 10 hari yang lalu bermula dari kubu kuat mereka di Idlib kemudian menawan kota-kota besar yang lain seperti Hama, Homs, Aleppo dan kini, hanya berada di pinggiran Kota Damsyik, kubu terakhir bagi rejim Assad.

Bashar Al-Assad yang sudah memegang jawatan Presiden Syria sejak tahun 2000 tidak tahu harus melakukan apa lagi. Meskipun beliau masih lagi yakin mampu menyekat kemaraan pasukan pejuang tersebut, namun ketika mereka sudah berada di pinggiran Kota, beliau mengambil keputusan untuk melarikan diri ke Moscow bersama dengan keluarganya atas nasihat sekutu rapat, Rusia sekaligus meninggalkan Damsyik yang mudah ditawan oleh HTS tanpa sebarang tentangan daripada tentera kerajaan sekaligus menamatkan pemerintahan keluarganya selama 53 tahun. Dilaporkan Presiden Rusia, Vladimir Putin membenarkan suaka politik diberikan terhadap Assad untuk menetap di Rusia.

Namun persoalannya di sini, pada 8 Disember itu, dimanakah sekutu rapatnya, Rusia dan Iran di saat Assad memerlukan mereka bagi mempertahankan rejimnya yang terkenal dengan kebrutalan serta kezaliman yang dilakukan ke atas rakyatnya sendiri sejak daripada zaman ayahnya lagi, Hafez Al-Assad?

Logik yang paling mudah untuk diterima ialah Rusia dan Iran masing-masing mempunyai masalah atau konflik internal yang mereka perlu selesaikan. Rusia kini sedang berperang dengan Ukraine yang kini sudah memasuki tahun ketiga sejak perang mula meletus pada 2022. Iran pula sedang menghadapi konflik dengan Israel, dengan melancarkan peluru berpandu ke arah Israel pada Oktober lalu, manakala Hezbollah pula baru sahaja menghadapi konfliknya dengan Israel. Dengan ketiadaan sekutu utama Assad telah membuka peluang kepada HTS untuk melancarkan serangan pantas dan berjaya menawan kota-kota besar di Syria sehingga akhirnya dapat menawan Kota Damsyik sekaligus menumbangkan rejim Assad.

Namun, yang pasti pihak yang menerima kesan paling besar sekali ialah Iran. Ini kerana Syria merupakan salah satu laluan terpenting bagi Iran untuk membekalkan bekalan senjata kepada sekutu-sekutunya iaitu Hezbollah di Lebanon, Hamas di Palestin serta Houthi di Yaman menerusi Pakatan ‘Axis of Resistance’, satu pakatan yang bertujuan bagi membendung pengaruh AS dan Israel di Timur Tengah.

Menurut James Jeffrey, mantan Diplomat AS dan timbalan Penasihat Keselamatan Negara, insiden yang berlaku di Lubnan dan juga yang terbaru di Syria menunjukkan pakatan tersebut kini sudah dihancurkan oleh Israel dan tinggalkan Iran dalam kedudukan berseorangan. Ini kerana menurut beliau, Iran kini sudah ketiadaan sekutunya bagi melancarkan perang proksi di Timur Tengah, yang tinggal hanyalah militia di Iraq dan Kumpulan Houthi di Yaman.

Jadi, apa langkah seterusnya untuk Syria pasca kejatuhan Assad? Apakah akan ada kestabilan dalam masa terdekat ataupun lebih banyak lagi konflik yang bakal berlaku sama ada dalam negeri ataupun luar negeri yang perlu Syria tangani dalam kadar segera. Yang pasti kestabilan dan keamanan perlu dicapai. Jika tidak, Syria bakal menghadapi pelbagai rintangan serta cabaran yang berliku dalam mewujudkan sebuah negara yang bebas dan aman.

Mengapa penulis menekankan kestabilan dan keamanan? Ini kerana kebanyakan negara seperti Libya dan Mesir meskipun berjaya menggulingkan pemimpin di negara masing-masing seperti Hosni Mubarak dan Muammar Gaddafi semasa berlakunya Arab Springs pada tahun 2011, namun kebanyakannya kekal dalam huru hara. Sebagai contoh Libya, kestabilan itu tidak dapat dicapai disebabkan oleh ‘power vacuum’ serta pertelingkahan antara sesama pemimpin Libya pasca Gaddafi sehingga berlakunya perang saudara di Libya manakala Mesir pula kembali diperintah oleh tentera selepas Mohammad Morsi yang dipilih rakyat menerusi pilihan raya digulingkan oleh tentera pada tahun 2013 selepas hanya setahun sahaja perintah.

Disamping itu, kita perlu ingat bahawa ketika pasukan pejuang berjaya menduduki Damsyik, Israel sudah pun berjaya menduduki Dataran Bukit Golan, bahkan sudah jauh memasuki ‘buffer zone’ atau zon penampan untuk memastikan kepentingannya dapat sentiasa terpelihara. Meskipun dikecam oleh masyarakat antarabangsa, namun Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menjelaskan, tindakan Israel itu dilakukan bagi menjaga ‘kepentingan’ negara haram tersebut.

Kerajaan sementara juga bakal menghadapi cabaran bagaimana ingin menyatupadukan kumpulan-kumpulan pejuang lain yang menentang Bashar Al-Assad ini. Perlu difahami bahawa selain HTS, ada Kumpulan lain juga seperti pasukan pejuang pro-Kurdish, Syria Democratic Force (SDF) yang mengawal sebahagian besar utara Syria yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) semasa perang saudara berlangsung, demikian juga pasukan Syria National Army (SNA) yang disokong oleh Turkiye bagi membendung  pasukan SDF yang didakwa dinaugi oleh Kumpulan Unit Perlindungan rakyat Kurdish (YPG) yang merupakan serpihan daripada Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan di Turkiye. Jadi bergantung kepada bagaimanakah kerajaan sementara ini bakal melayani kumpulan tersebut kerana kebanyakan Kumpulan yang berjuang itu mempunyai agendanya yang tersendiri.

Kesimpulannya, perubahan tidak datang dalam masa yang singkat. Ianya memerlukan satu tempoh yang panjang bagi Syria bagi pulih semula daripada kemusnahan selepas sekian lama perang berlangsung. Harus diingatkan, penindasan serta kezaliman itu berlaku bukan hanya dalam masa satu dua hari sahaja, tetapi ianya berlangsung selama 53 tahun. Jadi rakyat Syria berhak meraikan kemerdekaan buat kali kedua, selepas kemerdekaan pertama Syria peroleh dari Perancis pada tahun 1946.  Syria, meskipun masa depanmu belum pasti, namun jalan perubahan sudah dibuka, dan inilah masanya untuk membina semula negaramu ini.

Ulasan

Catatan Popular