Afghanistan ditawan oleh Taliban

 

Baru-baru ini, Taliban berjaya menguasai seluruh Afghanistan dalam masa yang singkat sahaja. Kota-kota besar di seluruh Afghanistan seperti Kandahar, Jalalabad dan lain-lain lagi hanya mengambil masa beberapa hari sahaja untuk dikuasai oleh Taliban. Kelemahan tentera Afghanistan antara punca mengapa Taliban boleh menguasai kota-kota besar dalam masa yang singkat sahaja meskipun tentera Afghanistan sendiri yang walaupun dilatih oleh tentera US, namun mereka senang dikalahkan oleh pejuang Taliban yang telah berjuang sejak daripada perang soviet lagi di mana kebanyakan daripada pejuang Taliban ini terdiri daripada mereka yang terlibat dalam perang mujahidin melawan Soviet Union yang telah menjajah negara tersebut sejak dari 1980. Ini yang menyebabkan tentera Afghanistan terpaksa menyerah kalah kepada Taliban dan kota-kota besar dapat dikuasai oleh Taliban dengan begitu cepat sekali. Suntikan dana sebanyak AS$2.3 trillion (RM9.6 trillion) hasil daripada cukai yang dibayar oleh rakyat Amerika Syarikat ke dalam sektor pertahanan dilihat tidak membantu tentera Afghanistan langsung apabila mereka ditewaskan dengan begitu mudah dengan pejuang Taliban.

 Apabila memasuki hari-hari terakhir sebelum Taliban memasuki ibu negara Kabul, presiden Afghanistan, Ashraf Ghani melarikan diri ke Negara Tajikistan. Alasannya adalah untuk mengelak daripada berlakunya pertumpahan darah. Tindakan yang dilakukan oleh beliau menimbulkan persoalan oleh masyarakat Afghanistan sendiri, Apakah tindakan tersebut wajar? Jika dilihat dari segi nilai moral ataupun etika, seharusnya beliau kekal di istana presiden di Kabul atas kapasitinya sebagai Presiden Afghanistan yang dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya presiden maka seharusnya beliau kekal bersama dengan rakyat yang telah mengundinya untuk berunding bersama dengan Taliban mengenai sebarang transisi ataupun sebarang pemindahan kekuasaan. Namun malangnya, beliau melarikan diri bersama-sama dengan rombongannya sambil didakwa melarikan wang sebanyak berbillion dollar untuk dibawa ke luar negara.

Keadaan agak kelam kabut apabila mendapat khabar bahawa Taliban sudah berada di pinggir Kabul, di mana ramai warga Afghanistan yang tergesa-gesa untuk ke lapangan terbang antarabangsa Kabul untuk melarikan diri. Ini kerana mereka sudah tidak mahu lagi ‘pisang berbuah dua kali’ di mana mereka sudah merasa keperitan semasa berada di bawah pemerintahan Taliban sebelum ini dari tahun 1996 hingga 2001 di mana Taliban menerapkan undang-undang syariah di Afghanistan. Para diplomat asing dari negara-negara Barat seperti kedutaan USA, Britain, Perancis dan lain-lain lagi yang sudah mengemas barang dan juga ikut turut serta bersama dengan rakyat Afghanistan yang lain untuk melarikan diri sebaik sahaja mendengar khabar berita tentang Taliban ini. Kecuali kedutaan negara lain seperti China yang menyatakan kedutaannya akan kekal di Kabul, diplomat asing yang lain telah melarikan diri ke luar Afghanistan.

Maka, apabila Taliban sudah pun berjaya memasuki Kabul dan berjaya menguasai keseluruhan Afghanistan secara keseluruhannya, persoalannya di sini adalah apakah Taliban yang sekarang adalah seperti Taliban yang dahulu, yang mengamalkan hukum-hukum syariah secara tegas di negara tersebut, ataupun mereka mampu menjadi yang lebih inklusif daripada sebelum ini iaitu, dengan menerapkan undang-undang syariah juga, namun pada masa yang sama harus memberi peluang kepada golongan wanita untuk bekerja, membenarkan kanak-kanak untuk pergi ke sekolah, memberikan kebebasan media dan juga kebebasan berpendapat. Namun semua itu hanya sia-sia sahaja jika mereka hanya bercakap sahaja namun sebaik sahaja mereka memegang tampuk pemerintahan, lainnya yang mereka lakukan daripada apa yang mereka katakan buat masa sekarang.

Dari segi hubungan diplomatik, China sudah terang-terangan ingin menjalinkan kerjasama dan jalinkan hubungan secara tidak langsung dengan rejim Taliban apabila mereka tidak mahu kebangkitan rejim Taliban ini mampu mencetuskan semangat kepada kaum Uighur di China untuk memberontak. Jadi itu adalah sebabnya mengapa China ingin menjalinkan kerjasama dengan rejim Taliban hasil dari pertemuan antara wakil Taliban dan China pada bulan Ogos yang lepas. Turki juga menerusi presidennya, Reccep Tayyip Erdogan menyatakan bahawa Turki telah mengadakan perbincangan dengan Taliban dalam memberi bantuan dalam menjaga keselamatan lapangan terbang Antarabangsa Kabul yang telah ditinggalkan oleh tentera US pada malam 30 Ogos yang lalu untuk memastikan bahawa negara-negara lain dapat mengekalkan kehadiran diplomatik di negara tersebut. Malaysia menurut menteri luar negeri, Dato Saifuddin Abdullah mengatakan bahawa Malaysia mengambil sikap berhati-hati dalam menjalinkan hubungan diplomatik dengan Taliban dengan mengambil kira semua pandangan daripada semua sektor dan akan mengumumkan dalam masa terdekat mengenai keputusan tersebut.

Kesimpulannya disini adalah bagaimanakah Taliban akan memerintah Afghanistan ini setelah kali terakhir mereka lakukannya pada 1996. Namun mereka perlu lakukan dengan lebih baik daripada sebelum ini terutamanya dalam memastikan hak asasi manusia terus terjaga, masalah rasuah dapat diatasi, hak wanita untuk bekerja harus dibenarkan, media harus diberi kebebasan untuk melapor dan kanak-kanak perlu dibenarkan untuk pergi ke sekolah untuk belajar di samping menerapkan undang-undang syariah. Ini untuk memastikan bahawa pembinaan semula Afghanistan yang sering dilaungkan oleh rejim Taliban ini akan tetap terlaksana. Namun, adakah Taliban akan melakukan semua perubahan ini?

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan Popular